Rabu, 15 Julai 2009

KONSEP HALAL DALAM ISLAM

PENGERTIAN HALAL

Takrif Halal

Halal bermaksud: “Perkara yang dibolehkan atau diharuskan atau dengan istilah lain perkara yang sah di sisi syariat, perkara yang baik dan mendatangkan kebaikan”. Allah telah menghalalkan semua perkara yang baik kepada kita. Menurut Yusuf al-Qardhawi halal ialah “Sesuatu yang mubah (diperkenankan), yang terlepas dari ikatan larangan dan diizinkan oleh pembuat syariat untuk dilakukan”.

1.3.2 Menurut Kamus Dewan

Kamus Dewan edisi ke-III memberikan definisi halal sebagai “Hukum membenarkan sesuatu perbuatan dilakukan (dalam Islam), diperbolehkan (tidak ditegah oleh syarak), diizinkan, dibenarkan, lawan haram”.

1.3.3 Menurut Akta Perihal Dagangan 1972

Akta Perihal Dagangan 1972 menjelaskan tanda pada makanan seperti ‘Makanan Orang Islam’ atau ‘Ditanggung Halal’ atau ‘Halal’ atau sebagainya bolehlah diertikan sebagai berikut:

I. Bukanlah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda dari binatang yang dilarang oleh syarak atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

II. Tidak mengandungi benda-benda najis.

III. Tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan alatan yang tidak bebas dari najis.

IV. Semasa penyediaan, memproses atau menyimpan tidak bersentuhan atau berdekatan dengan perkara yang tidak memenuhi kehendak syarak.

Akta ini juga melarang penggunaan perihal perdagangan yang palsu. Di samping itu, ia juga memberi kuasa kepada Menteri untuk mengkehendaki perlabelan atau penandaan apa-apa barang dengan label atau tanda yang ditetapkan. Di bawah Akta ini juga, Menteri telah mewajibkan perlabelan barangan berhak cipta dengan label tulen dan pelabelan makanan halal dengan perkataan “halal”.

Salah satu perundangan subsidiari di bawah akta ini ialah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasan Halal) 1975 dan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Makanan) 1975. Perintah ini dikeluarkan adalah untuk melarang penggunaan tanda “ Halal” yang mengelirukan pada makanan.

MAKANAN DARI SUDUT KEROHANIAN

Islam mempunyai garis panduan dan peraturan yang mempengaruhi setiap aspek kehidupan umatnya. Namun ianya tidak seharusnya dianggap satu seakatan mahupun sekadar adab sesama manusia. Sebaliknya ia mencakupi objektif keagamaan yang lebih luas dan dengan itu ia lebih mencerminkan idea dan nilai-nilainya.

Di sini kita meneliti hubungan diantara makanan yang kita makan serta kesihatan fizikal dan kerohanian kita. Seseorang Islam bukan saja makan menguat dan menyihatkan tubuh serta fikiranmya agar boleh beribadat kepada Allah dengan sempurna, malah ianya boleh menyumbang pengetahuan dan kudratnya demi kesejahteraan manusia sejagat.

Justeru itu, dalam konteks Islam, umatnya perlu memahami dan menghargai konsep halal dan haram, iaitu makanan dan minuman yang memenuhi tuntutan agama. Sesuatu makanan dikatakan halal jika:

  • Ia tidak memudharat atau mengganggu fungsi normal tubuh dan fikiran.
  • Ia bebas daripada najis dan bukan produk yang diperolehi dari sumber babi atau binatang yang tidak disembelih atau diburu mengikut hukum syarak.
  • Ia bebas daripada produk yang diambil daripada babi atau anjing atau lain-lain binatang yang haram.

Pepatah yang mengatakan “anda adalah apa yang anda makan” telah diperakui didalan Islam. Makanan yang dimakan bukan sekadar menjadi najis,tetapi ia juga diserap dan dimetabolismekan kedalam sistem penghadaman dan beredar ke seluruh bahagian tubuh termasuk otak dan jantung. Oleh itu, kebersihan tubuh, minda dan jiwa benar-benar bergantung kepada kesucian makanan yang kita makan.

Firman Allah Taala:

Maksudnya : Wahai orang-orang beriman, makanlah kamu semua apa sahaja di muka bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah Syaitan, Sesungguhnya dia itu adalah musuh kamu yang amat nyata .

Kita semua memahami bahawa memakan makanan halal itu adalah kewajipan setiap orang yang melafazkan kalimah syahadah. Kalam Allah dari ayat ini jelas sekali menyuruh umat manusia termasuk orang-orang kafir supaya mencari makanan yang halal lagi baik.

Adalah menjadi suatu kewajipan bagi umat islam dalam menitikberatkan soal pemakanan bagi mendapat keredhaan Allah lantas membina tubuh badan yang sihat, bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W:

Maksudnya: Setiap daging yang tumbuh dari yang haram (memakan makanan haram) maka nerakalah tempat yang paling layak baginya.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh setiap umat islam adalah konsep pemakanan yang berlandaskan syariat, bertepatan dengan hadis diatas yang merupakan satu amaran kepada umat islam supaya menjauhi daripada memakan makanan yang haram.


1 ulasan:

Mohd Faizal bin Yusof berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.